Pada hari ini dalam tahun 1997, YAB Perdana Menteri Dato’
Seri Dr Mahathir bin Mohamad merasmikan Kongres Kebangsaan Wawasan
2020 di Bandar Sunway. Persidangan dua hari tersebut turut dihadir
oleh YAB Timbalan Perdana Menteri, Menteri-menteri Kabinet, Pegawai-pegawai
Kanan Kerajaan, Diplomat, Ahli Akademik dan wakil bukan kerajaan. Semasa ucapan
perasmian, YAB Perdana Menteri menyatakan bahawa negara tidak harus
menjadi negara maju disegi ekonomi semata-mata, sebaliknya kemajuan itu perlu
merangkumi aspek sosial, kerohanian, kebudayaan dan politik. Beliau juga
menegaskan bahawa pembangunan secara seimbang bagi menjamin rakyat negara ini
tidak tergelincir dalam jurang yang gelap, penuh kealpaan dan lupa diri seperti
mana yang dialami oleh negara-negara maju di dunia. Lebih penting rakyat negara
ini perlu mempunyai rasa bangga dan keyakinan diri dan bangsa sendiri bagi
mendirikan masyarakat yang adil disegi ekonominya, menjamin kemakmuran
kehidupan dan mampu bersaing secara dinamis, tangkas dan teguh. Dalam mencapai
wawasan 2020 pembangunan sumber manusia tetap menjadi agenda yang sama penting
dengan pembangunan ekonomi secara keseluruhannya.
IHSAN: ARKIB NEGARA MALAYSIA