Sunday 12 January 2014

PERASMIAN KONGRES KEBANGSAAN WAWASAN 2020

Pada hari ini dalam tahun 1997, YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Dr Mahathir bin Mohamad  merasmikan Kongres Kebangsaan Wawasan 2020 di Bandar Sunway. Persidangan dua hari tersebut  turut dihadir oleh  YAB Timbalan Perdana Menteri, Menteri-menteri Kabinet, Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan, Diplomat, Ahli Akademik dan wakil bukan kerajaan. Semasa ucapan perasmian, YAB Perdana Menteri  menyatakan bahawa negara tidak harus menjadi negara maju disegi ekonomi semata-mata, sebaliknya kemajuan itu perlu merangkumi aspek sosial, kerohanian, kebudayaan dan politik. Beliau juga menegaskan bahawa pembangunan secara seimbang bagi menjamin rakyat negara ini tidak tergelincir dalam jurang yang gelap, penuh kealpaan dan lupa diri seperti mana yang dialami oleh negara-negara maju di dunia. Lebih penting rakyat negara ini perlu mempunyai rasa bangga dan keyakinan diri dan bangsa sendiri bagi mendirikan masyarakat yang adil disegi ekonominya, menjamin kemakmuran kehidupan dan mampu bersaing secara dinamis, tangkas dan teguh. Dalam mencapai wawasan 2020 pembangunan sumber manusia tetap menjadi agenda yang sama penting dengan pembangunan ekonomi secara keseluruhannya.   
IHSAN: ARKIB NEGARA MALAYSIA


WAWASAN 2020 ?

WAWASAN 2020 DIUMUMKAN:
Pada  hari  ini  dalam  tahun  1991, Perdana  Menteri, YAB  Dato’  Seri  Dr.  Mahathir  Mohamad  telah  mengumumkan  wawasan  jangka  panjang  Malaysia  untuk  menjadi  negara  maju  menjelang  tahun  2020  pada  Majlis  Perdagangan  Malaysia. Wawasan  ini  telah  dibentangkan  di dalam  satu  kertas  kerja  yang  bertajuk  ‘Malaysia- The Way  Forward’ di mana  di dalam  kertas kerja  tersebut  terdapat  pemikiran  dan   rangka  kerja  mengenai  matlamat  Malaysia  untuk  menjadi  sebuah  negara  maju  menjelang  tahun  2020.  Wawasan  2020  yang  mengandungi  sembilan  cabaran  ini  merangkumi  semua  aspek  kehidupan  daripada segi moral, ekonomi, politik  dan sosial.  Teras  utama  dasar  ini  ialah  pembangunan  menyeluruh  dengan  memberi  keutamaan  kepada  perpaduan  kaum  di  kalangan  rakyat  Malaysia.  Keunikan  mengenai  wawasan  ini  ialah  mengetengahkan  acuan  kemajuan  berdasarkan  acuan  pemikiran  rakyat  Malaysia  sendiri   Matlamat  wawasan  ini  ialah  untuk menjadikan  Malaysia  negara  maju  menjelang  2020  dan  mencapai   kemajuan  yang  seimbang  dari  segi  fizikal  dan  rohani  agar  ia  dapat  melahirkan  satu  Bangsa  Malaysia  yang  kuat  dan  bersatu. 


IHSAN: ARKIB NEGARA MALAYSIA