Wednesday 25 September 2013

Hari Ini Dalam Sejarah (HIDS)

PENGENALAN
HARI INI DALAM SEJARAH: SATU IMBASAN SEJARAH
Program Hari Ini dalam Sejarah lahir daripada pandangan dalam satu mesyuarat Jawatankuasa Kerja Persatuan Sejarah Malaysia pada 23hb Julai, 1979. Radio Televisyen Malaysia telah mengemukakan permintaan Y.B Menteri Penerangan Dato’ Mohamad Rahmat supaya Persatuan Sejarah Malaysia bersama Radio Televisyen Malaysia menerbitkan satu rancangan yang mengandungi keratan-keratan peristiwa sejarah tanahair untuk disiarkan melalui TV Malaysia. Tujuan diadakan rancangan ini ialah untuk memberi maklumat kepada orang ramai tentang sejarah tanahair di samping membawa kesedaran terhadap kepentingan sejarah dalam kehidupan mereka. Jawatankuasa Kerja ini telah bersetuju untuk menyerahkan perkara ini kepada kajian Arkib Negara supaya dapat disediakan satu projek perintis mengenai program ini.
Hasil daripada cadangan ini Arkib Negara telah menyediakan satu memorandum mengenai rancangan tersebut. Cadangan Arkib Negara ialah supaya program ini disiarkan tiap-tiap hari mengenai peristiwa-peristiwa bersejarah yang telah berlaku pada hari-hari yang berkenaan. Arkib Negara telah mencadangkan program ini dinamakan 'Hari Ini Dalam Sejarah'. Di samping itu Arkib Negara telah mengkaji selok-belok mengenai pengeluaran rancangan ini dan telah mencadangkan bahawa ianya disiarkan satu bulan sebagai program perintis.
Cadangan ini telah dikemukakan kepada YB. Menteri Penerangan yang telah bersetuju supaya projerk perintis dilaksanakan dalam bulan Disember 1979. Y.B Menteri Penerangan juga telah bersetuju untuk menyiarkan program ini mulai daripada lhb Januari, 1980.
Program ini meliputi aspek-aspek ekonomi, politik dan sosial tanah air yang bermula daripada tahun 1400 sehingga kini. Perkara-perkara di dalam sejarah perkembangan politik termasuk Kesultanan Melaka, kedatangan kuasa-kuasa Barat, pergolakan Negeri-negeri Melayu, Perang Dunia Kedua, Kemerdekaan dan sebagainya diberi perhatian. Di samping itu di dalam soal ekonomi perkara-perkara seperti ekonomi tradisional, zaman pendudukan Jepun telah juga mendapat perhatian. Perkembangan sosial di dalam pelajaran, kebudayaan, kesusasteraan dan sebagainya juga dititikberatkan.
Program ini telah mula disiarkan pada l hb Januari, 1980 dan berakhir buat sementara waktu pada 31hb Disember, 1980 kemudian telah disambung semula pada tahun 1981 hinggalah ke hari ini. Di dalam kajian yang telah dijalankan oleh RTM telah didapati bahawa program ini yang telah disiarkan melalui Radio Malaysia dan Televisyen Malaysia di dalam siaran-siaran bahasa Melayu, Inggeris, China dan Tamil adalah merupakan satu rancangan yang sungguh popular. Arkib Negara sendiri juga menerima sanjungan daripada orang ramai terhadap usaha yang dijalankan ini. Di samping itu, tidak kurang pula diterima teguran-teguran yang membina daripada orang ramai mengenai rancangan tersebut. Permintaan telah banyak diterima supaya bahan yang disiarkan itu dibukukan untuk digunakan oleh orang ramai khususnya para pelajar sebagai bahan rujukan. Di atas kehendak ini, maka Arkib Negara mengeluarkan 7 jilid buku yang mengandungi skrip-skrip program 'Hari Ini Dalam Sejarah'. Hari ini dengan kemajuan teknologi sekali lagi Arkib negara meneroka dan mengeksplotasi kemajuan teknologi maklumat dengan menyediakan produk Hari ini Dalam Sejarah dalam bentuk "Online" kepada pengguna dan ini juga sejajar dengan usaha kerajaan menyampaikan maklumat secara yang paling cepat dan interaktif kepada rakyat. Hari ini Dalam Sejarah Online ( HIDS Online ) boleh dicapai menerusi Homepage Arkib Negara Malaysia http://www.arkib.gov.my
Semoga persembahan dalam tiga pendekatan ini iaitu Siaran melalui Radio dan Televisyen; Terbitan berbentuk buku sebanyak 7 jilid dan terkini melalui Capaian Internet ini akan menjadi satu sejarah yang kekal mengenai usaha Arkib Negara dalam menyediakan kemudahan dan faedah kepada pelajar-pelajar, orang ramai dan generasi muda untuk mengenali sejarah negara dengan lebih dekat lagi.


Arkib Negara Malaysia

Disember 1998

2 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. JWT - Casino - Slots, Roulette, Live Dealer & Table Games
    JWT - Casino. JWT. JWT. JWT. JWT. 세종특별자치 출장샵 Casino. JWT. Casino. JWT. Casino. JWT. 동해 출장안마 Casino. JWT. Casino. 영천 출장안마 JWT. Casino. JWT. Casino. 사천 출장안마 JWT. 경기도 출장마사지

    ReplyDelete